PRU15: Isu siapa Perdana Menteri tidak sepatutnya timbul, kata Ismail Sabri
Faida Rahim
November 15, 2022 22:33 MYT
November 15, 2022 22:33 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan isu siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepatutnya tidak timbul lagi.
Kata Ismail Sabri, seperti yang disebut Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara sudah memutuskan bahawa beliau akan terus menggalas jawatan itu sekiranya BN membentuk kerajaan.
“Isu itu sudah jelas dalam UMNO, siapa sebenarnya yang dicadangkan oleh UMNO. Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ataupun sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) memutuskan saya sebagai calon PM sekiranya menang PRU15 nanti.
“Perkara ini juga dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN, Jawatankuasa tertinggi BN yang mana semua komponen bersetuju daripada segi cadangan mencalonkan saya sebagai PM. Autoriti tertinggi dalam parti kita adalah PAU yang sebulat suara memutuskan saya sebagai PM,” kata Ismail Sabri yang akan mempertahakan kerusi Parlimen Bera pada PRU15, Sabtu ini.
Ismail Sabri berkata demikian dalam program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri: Kestabilan & Kemakmuran, yang disiarkan malam ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menjelaskan, parti itu mengekalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April lalu menamakan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti itu sebagai calon Perdana Menteri.
Tegas Ismail, 156 anggota bahagian perwakilan mencadangkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri dan isu ini seharusnya tidak perlu dibahaskan lagi.
“Daripada segi parti, sudah tidak ada isu, sudah tidak ada soal timbul siapa yang lain dan sebagainya kerana semua peringkat parti telah buat keputusan.
“Apabila timbul isu ini, yang kita nampak tujuannya adalah untuk melaga-lagakan saya dengan Presiden UMNO. Semua Presiden komponen BN membuat statement (kenyataan),” kata beliau lagi.
Antara nama yang bersetuju dengan pemilihan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ialah Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Datuk Arthur Joseph Kurup mewakili parti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) termasuk kepimpinan UMNO iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden) dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Naib Presiden).