PRU15: Isu kekecohan, calon BN Permatang Pauh sedia bekerjasama dengan polis
Umavathi Ramayah
November 9, 2022 15:49 MYT
November 9, 2022 15:49 MYT
PERMATANG PAUH: Calon Permatang Pauh dari Barisan Nasional, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said sedia bekerjasama dengan polis berhubung kekecohan di tapak pasar malam Penanti, Isnin lalu.
Menurutnya, sehingga hari ini, beliau tidak dipanggil polis untuk memberi sebarang keterangan
"Tapi kalau ada laporan polis dan dipanggil saya akan pergi untuk menjawab, saya tak ada apa-apa masalah.
"Saya tahu, saya ikut segala peraturan untuk berkempen," katanya pada sidang media selepas pelancaran ikrar bagi melaksanakan sembilan agenda kepada masyarakat Permatang Pauh, pada Rabu.
Insiden itu didakwa berlaku kira-kira pukul 6.45 petang, Isnin lalu selepas penganjur tapak pasar malam bertindak menghentikan ceramah yang dilakukan Mohd Zaidi di laluan masuk pasar malam terbabit.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi menafikan dakwaan PKR yang menyatakan beliau adalah antara individu yang mencetuskan provokasi sehingga tercetusnya kekecohan itu.
"Ini adalah fitnah yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang mungkin takut melihat kepada sambutan yang begitu hebat, dalam video tersebut ramai yang hadir ketika saya memberi ceramah di pasar awam Peranti.
"Saya tidak membuat sebarang provokasi, saya hanya berucap di atas Hilux dan ada sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan bersebelahan lori Ayuh Malaysia. Kemudian saya dengar mereka minta petugas-petugas Barisan Nasional ubah Hiluz yang saya berdiri.
"Saya anggap ini satu perkara yang tidak adil bagi saya, kerana pada tempoh berkempen mereka harus memberi laluan kepada saya berkempen kerana saya tak halang lalu lintas, saya tak lama pun di situ.
"Tapi bila ada provokasi macam ini, saya turun untuk berjumpa mereka. Nampak macam tegang sikit tapi semuanya terkawal kerana mereka adalah kawan-kawan Permatang Pauh," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Permatang Pauh memberi jaminan bahawa akan menjalankan kempen dengan penuh berhemah, berdisiplin, tertib serta mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Menurutnya lagi, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sekiranya jentera atau penyokongnya jika bertindak di luar batasan di kawasan berkenaan.