PRU15: Ismail Sabri janji kecilkan saiz Kabinet jika dipilih semula sebagai PM
Madiha Abdullah
November 15, 2022 22:40 MYT
November 15, 2022 22:40 MYT
KUALA LUMPUR: Selain memperjuangkan agenda yang terdapat dalam manifesto Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berjanji akan mengurangkan anggota Kabinetnya jika kembali dipilih sebagai Perdana Menteri.
Menurut Ismail Sabri, saiz Kabinet yang terlalu besar sering menjadi topik perbualan rakyat dan beliau sedar rasional untuk mengecilkannya.
"Saya akui memang terlalu besar (saiz Kabinet) dan pastinya saya akan mengecilkannya. Daripada segi kepelbagaian kepakaran, akan saya jadikannya sebagai panduan untuk membentuk Kabinet nanti.
"Bukan sahaja terdiri daripada ahli politik tetapi daripada segi teknokrat akan turut dimasukkan," jelas Ismail Sabri dalam program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri: Kestabilan & Kemakmuran, yang disiarkan malam ini.
Dalam wawancara itu, Ismail Sabri berkata, kejayaan ekonomi yang dinikmati negara hari ini akan diteruskan sebagai asas kestabilan dan kemakmuran, biarpun sedar cabaran besar yang bakal didepani tahun hadapan.
"Kita akan memastikan supaya kita boleh mendapat, melepasi segala rintangan yang akan kita hadapi tahun depan, kita hendak supaya ekonomi kita terus berkembang, daripada segi itu yang pertama.
"Kedua, isu besar yang menjadi perbualan rakyat hari ini adalah kos sara hidup. Walaupun kita telah mengadakan Jawatankuasa Jihad Perangi Inflasi dan sebagainya, tetapi kita akan menambah baik setiap kelemahan kerana yang paling penting bagi rakyat adalah isu harga barang yang perlu diberi perhatian.
"Kita fokus juga pada golongan muda, yang paling penting daripada segi ekonomi mereka, daripada segi peluang mendapatkan pekerjaan. Sasaran kita 600,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini. Dan program mengurangkan pengangguran akan diteruskan," tambah Perdana Menteri lagi.