PRU15: Ismail Mutalib digugurkan, Shahaniza harap akar umbi Maran terus bersama

Fareez Azman
November 2, 2022 15:07 MYT
Shahaniza yakin untuk mempertahankan kerusi Parlimen Maran dan memastikan semua DUN dimenangi Barisan Nasional. - Astro AWANI / Shahir Omar
KUANTAN: Pengumuman calon Parlimen Barisan Nasional (BN) dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan beberapa nama besar digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Di Pahang, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib antara yang digugurkan, sementara nama yang dicalonkan ialah Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran.
Mengulas mengenai penerimaan akar umbi BN Maran selepas dirinya dinamakan untuk mempertahankan kerusi itu, Shahaniza menyatakan komitmennya.
"Bagi saya, ini adalah keputusan pucuk pimpinan yang saya akan galas sebaik-baiknya untuk pastikan kemenangan BN di Maran dan tugas saya (adalah supaya) ketiga-tiga DUN di Maran dapat dimenangi.
"Untuk Maran calon DUN semua kekal penyandang, cuma muka baharu saya (kerusi Parlimen Maran).
"Insya-Allah saya yakin akar umbi akan mendahuluikan parti... itu keyakinan saya," katanya.
Semalam, masyarakat Orang Asli di kawasan itu menzahirkan rasa kurang senang apabila penyandang Parlimen itu tidak dicalonkan pada PRU kali ini.
Jelas Jantan Bujing, 60, yang juga Tok Batin di Kampung Orang Asli Batu 55, masyarakat itu tidak akan keluar mengundi sekiranya Ismail tidak diangkat sebagai calon.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang sidang media dibuat oleh penyandang Parlimen itu selepas namanya digugurkan BN pada malam Selasa.
#PRU15 #Parlimen Maran #Ismail Abd Mutalib #Shahaniza Shamsuddin
;