PRU15: Ismail Mutalib adakan sidang media esok

Fareez Azman
November 3, 2022 23:32 MYT
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib sah akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran yang disandangnya menerusi tiket Perikatan Nasional (PN). - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib sah akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran yang disandangnya menerusi tiket Perikatan Nasional (PN).
Tindakan itu susulan namanya digugurkan oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Malah poster Ismail dengan logo PN mula tersebar di laman sosial sejak Khamis.
Menurut sumber terdekat yang dihubungi Astro AWANI, Ismail dijangka mengadakan satu sidang media khas berhubung perkara itu di Maran esok.
Ismail memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 3,763 menewaskan Hasenan Haron (Pas) dan Ahmad Farid Ahmad Nordin (PKR) atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU lalu.
Pada 1 November lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.
Ia sekali gus menyaksikan Ismail serta beberapa nama penyandang kerusi Parlimen UMNO yang turut digugurkan dalam PRU kali ini.
#Ismail Abdul Muttalib #PRU15 #kerusi parlimen Maran #Perikatan Nasional
;