PRU15: Ini tawaran Shahril Hamdan untuk Alor Gajah
Israr Khalid
November 11, 2022 08:15 MYT
November 11, 2022 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) P.135 Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan menggariskan beberapa matlamat yang ingin dicapai sekiranya dipilih menjadi perwakilan oleh pengundi kawasan itu.
Beliau memberi penumpuan kepada isu pendapatan dan peluang pekerjaan anak muda dan wanita, serta sasaran menjadikan Alor Gajah sebagai hab sekuriti makanan.
Ini janji-janji beliau, sepertimana yang dinyatakan dalam program Dialog Tiga Penjuru, pada Khamis:
“Saya nak pastikan pendapatan anak muda dan usahawanita semuanya meningkat dengan membawa seberapa banyak dana persekutuan untuk membantu mereka dengan kemahiran ‘rescaling’ dan ‘upscaling’.
“Saya nak pastikan bahawa pertanian moden dibawa ke bumi Alor Gajah ini. Banyak sangat tanah yang belum diusahakan."
Shahril juga yakin golongan petani muda boleh dilahirkan di kawasan itu dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan agensi-agensi berkaitan.
"Jika Ahli Parlimennya bekerjasama dengan kelima-lima ADUN daripada BN, saya yakin petani-petani muda kita boleh lahirkan dan naik juga pendapatannya," tambahnya.
Beliau juga mahu memastikan wujud kerjasama industri dengan 5,000 mahasiswa anak Alor Gajah yang belajar di institut pengajian tinggi seluruh negara.
"Saya nak pastikan mereka dapat manfaat apabila ada pelaburan yang masuk ke daerah ini atau daerah Melaka yang berdekatan.
“Kita ada Solar Valley, Taman Perindustrian HICOM Pegoh. Kita boleh buat hab kenderaan elektronik dan beri anak muda kerja, dengan pendapatannya bukan RM1,000 atau RM2,000, tapi RM3,000 hingga RM4,000.
“Itu KPI (indeks prestasi utama) yang saya nak diuji dan ditanya balik lima tahun daripada sekarang - adakah saya berjaya buat perkara-perkara tersebut atau tidak,” jelasnya