PRU15: "Ini keputusan yang paling sukar" - Kasthuri Patto umum tidak bertanding

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 20, 2022 14:26 MYT
Kasthuri berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pemimpin masa depan dalam DAP dan Malaysia. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Penyandang Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto daripada parti DAP mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Kasthuri berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pemimpin masa depan dalam DAP dan Malaysia.
Bagaimanapun Kasthuri yang menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan selama dua penggal itu berkata, dia akan terus kekal dalam parti dan meneruskan semangat yang diperjuangkannya sebelum ini.
"Saya sangat terhutang budi budi kepada parti kerana menyediakan platform kepada saya untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan.
“Saya akan meneruskan semangat memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia, membangkitkan isu-isu berkaitan wanita, pemansuhan hukuman mati, keterangkuman jantina, kebebasan sivil dan membasmi perkahwinan bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!
Pada masa yang sama, Kasthuri turut menyangkal khabar angin yang mendakwa beliau digugurkan daripada kerusi Batu Kawan atau berpindah ke kawasan lain sebaliknya menegaskan keputusan itu dibuat dengan rela hati.
“Ini adalah keputusan yang paling sukar yang saya perlu buat dalam hidup saya.
“Kepimpinan parti memujuk saya untuk memikirkan semula keputusan yang dibuat, namun saya tetap dengan keputusan saya dan kepimpinan parti akur dan merestui keputusan saya” katanya lagi.
Kasthuri mula menjadi Ahli Parlimen pada 2013 selepas memenangi kerusi Batu Kawan dengan majoriti 25,962 undi.
Dia seterusnya mengekalkan kawasan itu dengan majoriti lebih tinggi iaitu 33,553 undi pada PRU 2018.
Ketika ini dia turut memegang jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Khas bagi hal ehwal antarabangsa selain terpilih sebagai Presiden Ahli Parlimen untuk Tindakan Global (PGA) pada Disember lalu.
#Ahli Parlimen Batu Kawan #PRU15 #Kasthuri Patto #DAP
;