PRU15: Individu, pemimpin terpalit isu rasuah dan moral perlu ditolak sebagai calon - Syed Hamid Albar
Rahimah Abdullah
Oktober 5, 2022 00:08 MYT
Oktober 5, 2022 00:08 MYT
KUALA LUMPUR : Mana-mana individu dan pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah, moral dan konflik kepentingan tidak sepatutnya dipilih sebagai calon pilihan raya, tegas bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Beliau yang juga bekas veteran UMNO berkata, individu berkenaan tidak ada hak untuk menjadi calon jika masih ada kes-kes seumpama itu di mahkamah.
"Mana-mana pemimpin dalam pilihan raya akan datang, iaitu mana-mana pemimpin yang terpalit dengan apa-apa isu sama ada isu moral, atau etika, tidak sepatutnya menjadi calon untuk pilihan raya.
"Kita sentiasa melihat undang-undang. Ia bukan soal kita membawa orang itu kepada undang-undang, dan kita perlu selesaikan proses undang-undang, kita disabitkan namun, ia lebih kepada isu moral, anda tidak mempunyai hak untuk mewakili, apabila anda mempunyai kes, anda tidak sepatutnya menunggu semua orang didapati bersalah.
"Jika anda mempunyai rekod mana-mana calon, atau mana-mana orang yang ingin berada dalam politik, yang tidak bersih, yang tercemar kes rasuah, konflik kepentingan, maka kita harus menolak orang itu," katanya semasa program diskusi secara maya "GE15: Anti-Corruption As An Election Promise pada Rabu.
Katanya, apa yang diperkatakannya itu bukan hanya merujuk kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sahaja.
"Ini kerana ia melibatkan satu sejarah yang panjang. Kita sudah melaluinya sejak kemerdekaan, kita ada perundangan dan peraturan yang membuatkan ramai orang menghadapi kesukaran untuk memilih jalan singkat untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan.
"Jadi, mungkin kena lihatnya dengan lebih serius untuk kita menangani isu rasuah," ujarnya.
Malah, katanya, di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditubuhkan kerajaan pada ketika itu ialah usaha membanteras rasuah.
"Jadi semua ini, saya tidak percaya bahawa hanya undang-undang adalah jawapan (penyelesaiannya).
"Namun, saya percaya undang-undang boleh menjadi proses kepada membantu negara.
"Perkara pertama ialah kita perlu mewujudkan masyarakat yang bermoral, beretika dan memilih calon yang menentang rasuah," tegasnya.