PRU15: Hujan lebat, banjir kilat cabaran kempen Chow Kon Yeow di Batu Kawan
Astro Awani
November 12, 2022 18:57 MYT
November 12, 2022 18:57 MYT
BUKIT TENGAH: Berkempen dalam suasana cuaca tidak menentu antara cabaran yang perlu dihadapi semua calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Berbaki enam hari kempen, calon Pakatan Harapan (PH ) Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow berkata, beliau perlu menemui seramai mungkin pengundi bagi memastikan dirinya dikenali seterusnya dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
Meskipun aktiviti berkempennya sedikit terkesan berikutan beberapa kawasan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat semalam, Pengerusi DAP Pulau Pinang itu, tetap bersemangat mahu menyantuni pengundi dalam jelajah kempennya di Bukit Tengah hari ini.
"Kempen sudah masuk hari kelapan, sudah melepasi garis tengah, tinggal tujuh hari... dan memandangkan cuaca amat mencabar, banyak ceramah perjumpaan pun perlu dibatalkan sebab diadakan di kawasan luar.
"Kita perlu kaji strategi guna dewan berbumbung untuk jalankan aktiviti kita. Penerimaan menggalakkan menuju kemenangan," ujar Kon Yeow.
Menurutnya, sepanjang lapan hari berkempen dengan turun ke pelosok kampung dan pekan di kawasan berkenaan, beliau melihat banyak perkara yang perlu diberi perhatian lanjut.
Antaranya adalah permasalahan perparitan sehingga berlaku banjir kilat yang dihadapi penduduk dan dia berjanji akan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.
"Saya sudah kata, sebaik saja mahu bertanding di sini, banyak cabaran yang menunggu. Banyak penyelesaian yang perlu dibuat.
"Di sini ada tiga kawasan DUN, masing-masing ada cabarannya tersendiri. Seperti di Perai didapati keadaan banjir sebelum ini, terkawal. Di Bukit Tambun kita tak terima laporan, cuma Bukit Tengah ada dua penempatan (sementara). Mereka yang tinggal di kawasan ini tidak termasuk kawasan tanah milik persendirian, tapi itu bab lain.
"... tetapi untuk taman perumahan banjir, itulah, seperti yang penyelesaian yang saya katakan, iaitu untuk menambah baik parit bagi memperluas fungsi menampung air. Dalam soal banjir, fokus akan diberikan ke beberapa lokasi dan kita harap ia dapat ditangani," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa kempen di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah hari ini.
Kon Yeow yang kali pertama bertanding di Batu Kawan berkata, beliau sudah menyantuni penduduk di beberapa kawasan di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen tersebut iaitu Bukit Tambun, Bukit Tengah dan Perai dan setakat ini penduduk di kawasan berkenaan menerima baik kehadirannya.
Justeru beliau mengharapkan kemenangan berpihak kepadanya dan berjanji akan terus membantu penduduk kawasan berkenaan.
Penyandang Parlimen Tanjong itu bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Batu Kawan dalam persaingan lima penjuru menentang calon parti Warisan, Ong Chin Wen,Tan Lee Huat (BN),Lee Ah Liang (PRM) dan Wong Chia Zhen (PN).