PRU15: Hishammuddin ingatkan rakyat tentang kegagalan PH tunai janji manifesto
Firdaus Azil
Oktober 11, 2022 23:55 MYT
Oktober 11, 2022 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu mengingat kembali tentang beberapa janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya tidak dapat ditunaikan selepas mereka memegang Kerajaan Persekutuan.
Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia berbeza dengan prestasi BN dalam menunaikan janji manifesto.
Beliau berkata, manifesto BN yang bakal dilancarkan kelak, akan terus berkisar tentang kebajikan dan pembelaan pelbagai lapisan masyarakat.
“(Manifesto) itu nanti kita lancarkan, fokus sentiasa berkisar kepada kebajikan dan pembelaan, dan bagaimana parti kita dapat mendekati dan membela rakyat. Itu tak boleh lari.
“Keduanya kita juga bincangkan bila dekat dengan masa kempen nanti, mungkin akan ada janji dibuat (tetapi) mereka tidak bertanggungjawab. Saya ingatkan janji mereka sebelum mereka dapat peluang untuk perintah, berapa dah ditunaikan,” katanya kepada pemberita selepas selesai mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn malam ini.
Hishammuddin berkata, beliau berharap golongan pengundi dapat menilai segala manifesto parti-parti yang bertanding pada PRU lepas, khususnya PH, dan kemudian melihat bagaimana ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya biarpun mereka berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut tentang perjalanan mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu, beliau berkata, persefahaman antara parti komponen sangat mendalam.
“Saya tengok persefahaman parti dalam BN bukan sahaja unik, tetapi ada persefahaman yang amat mendalam sekali, dan bila kita diuji dalam pilihan raya dari segi cara nak lihat ke hadapan, untuk pastikan kemenangan BN, saya tak mahu lihat ada masalah langsung.
“Kita dah laluinya dalam tahun-tahun sebelum ini, dan formula BN ini yang akan bantu kita supaya bukan saja untuk hari ini, tapi apa yang kita lakukan hari ini dapat diwarisi pemimpin akan datang,” katanya lagi.