PRU15: Hari terakhir kempen, Zahid buat kesekian kali tegaskan BN janjikan kestabilan
Ridauddin Daud
November 18, 2022 22:32 MYT
November 18, 2022 22:32 MYT
BAGAN DATUK: Hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi buat kesekian kalinya menyatakan gabungan itu "menjanjikan kestabilan buat negara".
Menurutnya, janji itu dibuat bersandarkan rekod gabungan itu sebelum ini terutamanya dalam proses membuat keputusan.
Tegasnya, BN sentiasa berpegang kepada prinsip kolektif, keputusan bersama berdasarkan kepada keutamaan, kebenaran dan konsisten.
"Inilah yang diperlukan oleh negara. Inilah juga pendekatan kami selama ini yang mampu menjamin kestabilan dapat dipelihara.
"Kestabilan amat penting bagi Malaysia untuk menarik semula keyakinan pelabur luar, keyakinan rakyat negara sendiri, bahawa mereka mempunyai masa hadapan yang cerah," katanya.
Beliau berkata demikian pada Perutusan Hari Mengundi Pengerusi Barisan Nasional di Dataran Bagan Datuk di sini pada Jumaat malam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan BN kini bergerak ke hadapan untuk melakukan reformasi di dalam parti dan kerajaan.
"Kami terbuka dengan segala kritikan dan bersedia untuk menerima pandangan daripada rakyat.
"Barisan Nasional bersedia untuk membuka lembaran baru, dengan membuat dasar-dasar yang lebih baik dan mengukuhkan pembangunan.
"Kami berjanji untuk melakukan perubahan yang progresif dalam masa beberapa bulan yang akan datang. Barisan Nasional berjanji, untuk memberikan yang lebih baik kepada rakyat selepas pilihan raya ini," ujarnya.
Selain itu, Presiden UMNO itu berkata gabungan berkenaan beriltizam untuk mengangkat martabat Sabah dan Sarawak.