PRU15: Harga tiket RM199 pulang Sabah, Sarawak jika PH menang

Sinar Harian
November 10, 2022 09:00 MYT
Ewon ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat di Dewan Kampung Tindai Kolupis, Penampang. - Foto Sinar Harian
PENAMPANG: Pakatan Harapan (PH) menawarkan manifesto harga tiket penerbangan RM199 bagi perjalanan balik ke Sabah atau sebaliknya jika pakatan itu berjaya memerintah kerajaan.
Calon PH di Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam PH sebagai salah satu parti komponen sudah semestinya telah membangkitkan idea atau cadangan baharu yang lebih segar untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
"Itu sebabnya semasa kita menyediakan manifesto atau yang kita panggil tawaran 'kita boleh' PH untuk rakyat Malaysia, kita juga menuntut supaya beberapa perkara khas untuk Sabah dimasukkan sebab kita mahu melihat hak-hak Sabah ini dapat ditunaikan.
"Ini termasuklah kita menuntut dan mencadangkan supaya harga tiket penerbangan untuk rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Kuala Lumpur dan bila mereka balik ke negeri masing-masing.
"Bukan hanya musim pilihan raya tetapi ketika balik melawat ibu bapa di kampung perlu ada harga tetap, seragam untuk rakyat Sabah dan Sarawak, sebab itu kita mencadangkan harga RM199," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis ramah mesra bersamanya di dewan Kampung Tindai Kolupis, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai salah satu tawaran PH menerusi inisiatif kembara siswa di mana PH menawarkan harga tiket penerbangan pada harga tetap RM199 untuk ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya dengan had dua tiket setahun bagi setiap mahasiswa jika berjaya menjadi kerajaan kali ini.
Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, PH akan pastikan syarikat-syarikat penerbangan akan melaksanakan tawaran itu selepas berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan nanti.
"Sebagai bakal Presiden UPKO, saya akan duduk dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anthony Loke Siew Fook, Mohamad Sabu sebagai presiden parti-parti komponen PH yang lain, kami berempat inilah yang akan membuat keputusan besar PH dan ini adalah antara tawaran yang saya pastikan dilaksanakan oleh kerajaan PH," katanya.
Ewon bertanding di Parlimen Penampang dan akan menyertai saingan empat penjuru dan akan berdepan dengan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Darell Leiking dari Parti Warisan (Warisan) dan lagi calon lain iaitu Kenny Chua Teck Ho (GRS) dan Richard Jimmy (Bebas). - Sinar Harian
#PRU15 #Pakatan Harapan #Ewon Benedick #tiket RM199 pulang Sabah Sarawak
;