PRU15: Halimah 'balik kampung' bantu calon BN

Sinar Harian
November 16, 2022 11:00 MYT
Halimah Mohammed Sadique ketika ditemui media selepas majlis Makan Malam Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kaum Tiong Hwa di Kluang. - Foto Sinar Harian
KLUANG: Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohammed Sadique berkempen ke Kluang bermula pada Selasa untuk membantu calon BN Kluang, Gan Ping Sieu sebagai pecutan terakhir sebelum hari mengundi pada 19 November nanti.
Beliau berkata, sebagai anak jati Kluang, tidak akan membiarkan Gan Ping Sieu dan pasukannya berkempen tanpa bantuannya apatah lagi cabaran dalam Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15).
Tambahnya, peluang tiga hari berkempen selepas membantu calon-calon lain di seluruh negara akan digunakan sebaiknya untuk mendekati pengundi yang digerakkan dengan semangat perpaduan kaum.
"Strategi ini adalah langkah terakhir kami untuk memenangkan calon BN yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2008 sebelum ini.
"Mungkin dengan gerakan perpaduan dari rombongan berbilang kaum dapat menarik perhatian untuk memberikan undi kepada BN nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Makan Malam Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kaum Tiong Hwa di Kluang.
Sementara itu, Halimah ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak memecahkan perpaduan kaum yang sudah terjalin sejak sekian lama ketika berkempen untuk calon masing-masing.
Katanya, tindakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama harus dielakkan kerana tidak mahu hanya kerana ingin memenangkan calon sanggup mengabaikan semangat perpaduan yang sudah sinonim dengan kehidupan masyarakat di negara ini.
"Ini kerana, untuk menyatukan kaum bukan sesuatu yang mudah, oleh yang demikian walaupun berbeza fahaman politik namun semangat toleransi perlu dipertahankan," katanya. - Sinar Harian
#PRU15 #Malaysia Memilih #Halimah Mohammed Sadique #kempen
;