PRU15: Hadi Awang berdepan pertarungan empat penjuru

Hafizi Rosli
November 5, 2022 11:31 MYT
Dari kiri, Zarawi, Jasmira, Abdul Hadi dan Azhar diumumkan sah bertanding pada PRU15 bagi Parlimen Marang. - Foto Astro AWANI/HAFIZI ROSLI
MARANG: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan kerusi Parlimen Marang (P037) berdepan tentangan calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili Jasmira Othman, Azhar Ab Shukur (Pakatan Harapan) dan Dr Zarawi Sulong (Gerakan Tanah Air).
Pertandingan empat penjuru itu disahkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Marang, Lizan Che Mat, pada 10.40 pagi selepas tempoh proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Marang itu ditutup pada 10 pagi.
Jelas Lizan, tiada pencalonan ditolak, sekali gus keempat-empat mereka disahkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Abdul Hadi sebelum itu mengemukakan borang pencalonannya pusat penamaan calon tersebut pada jam 9 pagi, bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya untuk tiga penggal sebelum ini.
Selain penyokong dan pencadang bagi pencalonannya, Abdul Hadi turut ditemani Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pada PRU14, Abdul Hadi menang dengan majoriti 21,954 dalam pertembungan tiga penjuru melibatkan BN dan PH.
Walaupun dalam keadaan hujan renyai, ribuan penyokong Pas hadir memberi sokongan kepadanya, begitu juga penyokong BN, GTA dan PH yang menyokong calon masing-masing.
#Abdul Hadi Awang #PRU15 #Parlimen Marang #Calon PRU15
;