PRU15: Guan Eng kekal di Bagan, Kon Yeow ke Batu Kawan, Syerleena tanding Bukit Bendera

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 30, 2022 12:46 MYT
Anthony Loke (empat dari kiri) bersama-sama tujuh calon DAP yang akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam majlis pengumuman yang dibuat di George Town, hari ini. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Parti DAP mengumumkan senarai penuh tujuh calon yang akan bertanding di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Menurut Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng kekal bertanding di kerusi Parlimen Bagan sementara Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan selepas penyandang kerusi itu, P. Kasthuriraani mengumumkan tidak akan bertanding di kerusi Parlimen tersebut.
Anthony turut mengumumkan, Senator Lim Hui Ying yang juga adik kepada Lim Guan Eng akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjong yang sebelum ini disandang Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dalam masa sama, DAP menampilkan calon muka baharu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid yang akan bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera selepas penyandangnya Wong Hong Wai tidak mempertahankan kerusi berkenaan.
Sementara itu, tiga kerusi Parlimen lain di Pulau Pinang menyaksikan penyandangnya kekal bertanding di situ.
Kerusi-kerusi berkenaan ialah Parlimen Jelutong yang diwakili oleh RSN Rayer, Bukit Gelugor (Ram Karpal) dan Bukit Mertajam (Steven Sim).
Pada PRU14, DAP Pulau Pinang bertanding tujuh kerusi Parlimen iaitu di Tanjong menerusi Kon Yeow, Bagan (Lim Guan Eng), Bukit Mertajam (Steven Sim), Batu Kawan (P. Kasthuriraani), Bukit Bendera (Wong Hon Wai), Jelutong (RSN Rayer) dan Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh).
Pengumuman calon Parlimen DAP di Pulau Pinang dibuat pada Majlis Konvoi Harapan di Persiaran Karpal Singh, di sini, pada Ahad.
#PRU15 #calon DAP #Lim Guan Eng #kerusi Parlimen Pulau Pinang
;