PRU15: GTA 'underdog' yang mampu beri saingan pada parti gergasi - Aminuddin

Astro Awani
Oktober 29, 2022 18:41 MYT
Pengerusi GTA Pahang, Aminuddin Yahaya berkata, walaupun dianggap sebagai 'underdog' jika dibanding dengan parti-parti gergasi lain, namun, calon-calon GTA memiliki kelebihan tersendiri berbanding pesaing.
TEMERLOH: Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang mengesahkan akan bertanding di 13 kerusi Parlimen dan 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.
Menurut Pengerusi GTA Pahang, Aminuddin Yahaya, walaupun dianggap sebagai 'underdog' jika dibanding dengan parti-parti gergasi lain, namun, calon-calon GTA memiliki kelebihan tersendiri berbanding pesaing.
Kata beliau, calon-calon GTA yang disenarai pendek untuk PRU15 terdiri daripada mereka yang bersih daripada kegiatan rasuah, memiliki integriti dan akhlak terpuji.
Tidak ketinggalan, jelas Aminuddin, lebih 60 peratus daripada calon-calon GTA terdiri daripada golongan profesional.
"Hampir lebih 60 peratus (calon PRU15) adalah golongan profesional sama ada daripada parti ataupun non parti juga golongan profesional, jadi bukan orang sembarangan.
“Insya-Allah semua (calon) orang yang integriti, tidak ada masalah, mereka tidak pernah terkait isu rasuah, salah guna kuasa, akhlak yang tidak betul tidak ada… Alhamdulillah bersih setakat ini kita memang tapis, kita tak terima sebarang calon," tegas Aminuddin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya di sini, hari ini.
Aminuddin turut berkata, walaupun saiz ahli GTA kecil, namun, mereka akan menggunakan kelebihan berkempen melalui media sosial yang lebih mudah digunakan bagi mendekati pengundi muda.
#PRU15 #GTA underdog #Gerakan Tanah Air #Aminuddin Yahaya
;