PRU15: GTA Sabah sokong Tun M, Mukhriz sebagai calon Perdana Menteri
Hasimi Muhamad
November 17, 2022 14:02 MYT
November 17, 2022 14:02 MYT
KOTA KINABALU: Gerakan Tanah Air (GTA) Sabah menyatakan sokongan penuh untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika gerakan itu diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain Dr Mahathir, Ketua GTA Sabah, Nicholas Sylveste @ Berry berkata, individu kedua yang layak untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Nicholas yang juga Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Sabah berpandangan, Dr Mahathir telah membuktikan kepimpinannya dalam menerajui Malaysia.
"Selain itu, diikuti rapat oleh protegenya, Datuk Seri Mukhriz. Saya ingat beliau (Mukhriz) pun sudah bersedia sebenarnya cuma lagi memang kita (Pejuang) tidak menamakan (calon Perdana Menteri) dan saya pun tidak akan menyebutkan, sebab dia 'fluid' (boleh berubah) dan banyak perundingan dengan parti.
"Saya melihat satu kelebihan kepada Dr Mahathir ialah beliau mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan dirinya sendiri dan tidak perlu untuk beliau menegaskan bahawa beliau lah yang menjadi Perdana Menteri (mewakili Pejuang)," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pejabat Pejuang, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah GTA dan Pejuang Negeri Sabah menyokong jika Dr Mahathir dan Mukhriz dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mewakili parti dan gabungan berkenaan.
Setakat ini, GTA belum memutuskan calon untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, sebaliknya, ia akan dimuktamadkan sebaik gabungan itu memenangi PRU15.
Pada PRU15, GTA bertanding atas tiket Pejuang di 121 kerusi Parlimen seluruh negara, kecuali di Kelantan dengan menggunakan logo Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Mengulas lanjut, Nicholas berkata, selain Mukhriz, GTA yang dianggotai beberapa parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memiliki ramai pemimpin yang bersih, amanah, serta cekap untuk diangkat menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Ditanya bagaimana usaha mengangkat calon Perdana Menteri daripada GTA boleh direalisasikan, Nicholas berkata, Dr Mahathir mempunyai strategi ampuh, selain tidak menolak menjalin kerjasama dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
"Saya ingat rundingan sedang berlaku tetapi antara yang disebut oleh Dr Mahathir ialah beliau tidak akan boleh bekerjasama dengan parti yang rosak dan merosakkan.
"Jadi, semua kemungkinan itu ada termasuk dengan 'The Borneo Block' yang disebutkan ini, dan semua kemungkinan itu ada untuk penggabungan itu berlaku dan untuk Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-10," ujarnya lagi.
Nicholas yang juga calon Pejuang bagi Parlimen Papar menambah, setakat ini penerimaan rakyat Sabah terhadap Pejuang dilihat memberangsangkan.
Katanya, enam kerusi Parlimen dijangka memberi saingan sengit, dengan kemungkinan besar Pejuang mampu menawan kerusi berkenaan.
Ia antaranya melibatkan Parlimen Papar, Ranau, Kudat, Kalabakan serta Kota Marudu.
Bagaimanapun, Nicholas mengakui cabaran paling besar ketika ini adalah untuk mengikis persepsi rakyat Sabah yang menganggap Pejuang sebagai parti Malaya atau Semenanjung.
"Jadi satu blok di situ, tetapi kita mengatakan bahawa parti Pejuang ini, tidak boleh dianggap sebagai parti Malaya, sebaliknya ia parti nasional.
"... Yang mana ahlinya yang paling ramai sekali ialah orang Sabah. Jadi orang Sabah berada di dalam parti nasional untuk mendapatkan ruang berpolitik di peringkat nasional, dan meraih potensi penglibatan kita (rakyat Sabah) di Parlimen," katanya.