PRU15: GTA pertaruh calon di 121 kerusi Parlimen

Astro Awani
November 2, 2022 17:46 MYT
Dr Mahathir akan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi manakala Mukhriz akan bertanding di Jerlun. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Gerakan Tanah Air (GTA) mengumumkan 121 calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Antara nama yang disenaraikan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz (Jerlun), Datuk Seri Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
Dr Mahathir, Mukhriz dan Amiruddin memenangi kerusi tersebut pada PRU14 atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selain itu, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani, manakala Ketua Pejuangnita, Nurul Ashikin Mabahwi di Ampang.
Sementera Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali akan mencuba nasib di kerusi Parlimen Rantau Panjang, meninggalkan kerusi Parlimen Pasir Mas.
Timbalan Presiden Putra, Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus pula dinamakan sebagai calon GTA untuk kerusi Parlimen Jempol.
Mohd Khalid merupakan bekas menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri pula diletakkan di kerusi Parlimen Port Dickson.
#PRU15 #Calon PRU15 #calon GTA #Dr Mahathir Mohamad
;