PRU15: GTA Negeri Sembilan calonkan Ahmad Idham tanding di PD

Sinar Harian
Oktober 18, 2022 09:10 MYT
Ahmad Idham (kiri) ketika dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan. Bersamanya Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim. - Gambar fail/Facebook
SEREMBAN: Pengarah dan juga pelakon Ahmad Idham Ahmad Nadzri antara nama yang dicadangkan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk bertanding di Parlimen Port Dickson.
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, nama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu telah dibawa ke peringkat pucuk pimpinan sebagai calon GTA negeri menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Katanya, selain Ahmad Idham, GTA Negeri Sembilan turut mencadangkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai calon di kerusi Parlimen Rembau.
"Keputusan sama ada Abdul Hamid terpilih calon bertanding di Parlimen Rembau dan Ahmad Idham bagi kerusi Parlimen Port Dickson akan ditentukan pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Jelas Ketua Pejuang Negeri Sembilan itu, tindakan mencalonkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham bakal menyaksikan pertembungan sengit melibatkan kedua-dua kerusi.
"Bagi saya buat masa ini Abdul Hamid calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau, lebih-lebih lagi Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini.
"Kita juga percaya dengan meletakkan Ahmad Idham sebagai calon kerusi Parlimen Port Dickson ia akan memberi saingan sengit terhadap parti lawan, seperti di Parlimen berkenaan mungkin Menteri Besar Negeri Sembilan akan bertanding di situ.
"Dan keputusan kita mencadangkan nama besar seperti ini adalah untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini kerana kalau kita betul-betul nak perbetulkan negara hari ini, inilah orangnya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu bagi peringkat Negeri Sembilan dijadual diadakan 23 Oktober ini.
"Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan hadir dan melancarkan program itu yang diadakan di Senawang," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri diumumkan sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan.
Lantikan itu diumumkan oleh Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim pada mesyuarat GTA negeri di sini. - Sinar Harian
#PRU15 #GTA Negeri Sembilan #Ahmad Idham Ahmad Nadzri #Port Dickson
;