PRU15: GTA kenal pasti 17 kerusi di Johor - Mukhriz
Bernama
Oktober 29, 2022 21:51 MYT
Oktober 29, 2022 21:51 MYT
BATU PAHAT: Gerakan Tanah Air (GTA) sudah mengenal pasti 17 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor untuk gabungan itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata, kawasan terlibat adalah kawasan majoriti pengundi Melayu termasuk Parlimen Pagoh yang disandang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Bagaimanapun, senarai calon akan dimuktamadkan esok sebelum diumumkan secara rasmi pada 2 Nov ini. Tentunya kita serius dalam menawarkan calon, bukan masuk dalam pilihan raya untuk berseronok.
"Kita tahu kita berhadapan dengan saingan yang sangat sengit yang datangnya dari parti-parti yang sudah lama bertapak di negeri ini contohnya UMNO," katanya Presiden Pejuang itu selepas merasmikan pelancaran Jentera PRU15 GTA Negeri Johor, di sini, hari ini.
GTA yang dianggotai Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk bertanding di kira-kira 120 kerusi Parlimen pada PRU15.
Ketika diminta mengulas mengenai keengganan beberapa gabungan untuk bekerjasama dengan GTA pada pilhan raya kali ini, Mukhriz berkata, ia mungkin disebabkan mereka sudah selesai mengagihkan kerusi dalam kalangan parti komponen mereka.
"Saya tidak pastilah apa sebabnya (enggan kerjasama). Agaknya mereka rasa di peringkat-peringkat akhir nak dekat pilihan raya, mungkin dah dipersetujui dalam kalangan mereka mengenai agihan kerusi.
"Jadi bila kita bincang berkenaan dengan kerjasama politik, bermakna ada kerusi yang terpaksa mereka korbankan untuk beri ruang kepada gabungan-gabungan lain, mungkin itulah sebabnya," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov. - BERNAMA