PRU15: GTA guna logo Pejuang

Sinar Harian
Oktober 12, 2022 23:34 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara berkenaan juga dipersetujui oleh semua parti komponen dalam gabungan itu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang menyokong mereka. - Gambar fail
SHAH ALAM : Gerakan Tanah Air (GTA) membuat ketetapan untuk menggunakan lambang dan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara berkenaan juga dipersetujui oleh semua parti komponen dalam gabungan itu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang menyokong mereka.
Beliau berkata, secara dasarnya GTA mahu menggunakan lambang serta logo sendiri, namun perkara itu tidak dapat dilakukan kerana gabungan tersebut belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Memandangkan masa sudah agak suntuk, maka kita perlu memilih satu logo untuk memperlihatkan kebersamaan kita dalam PRU ini.
“Besar harapan saya agar parti Pejuang, Berjasa, Iman, NGO serta orang perseorangan akan dapat berusaha bersama-sama memastikan kemenangan calon GTA yang bertanding menggunakan logo dan lambang Pejuang,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya pada malam Rabu.
Pada Selasa, Dr Mahathir mengumumkan GTA akan meletakkan lebih 120 calon di seluruh negara termasuk di Sabah.
Beliau berkata, GTA juga bakal meletakkan calon muda dan wanita sebagai strategi parti untuk memenangi PRU15, namun tidak menetapkan bilangan calon dalam kumpulan itu. - Sinar Harian
#PRU15 #parlimen bubar #GTA #logo pejuang
;