PRU15; GRS-BN umum 24 calon, satu kerusi masih runding

Hasimi Muhamad
November 2, 2022 07:01 MYT
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir pada majlis pengumuman calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah - Barisan Nasional (GRS-BN) mengumumkan 24 calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Daripada jumlah kerusi tersebut, GRS mendapat 13 kerusi, sementara BN diberikan 11 kerusi untuk dipertaruhkan termasuk satu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
Dalam pengumuman yang dibuat secara serentak itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagaimanapun berkata, satu lagi kerusi iaitu Parlimen Beluran masih dalam perbincangan.
Jelas Bung Moktar, pemilihan calon dibuat bagi memastikan gabungan tersebut menang pada PRU15, sekali gus membantu membentuk kerajaan Persekutuan.
“Dengan ini ini saya ingin mengumumkan nama-nama calon di Sabah ini.
“Kita telah berunding dan kita akan pastikan calon-calon kita, di mana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding, BN bantu. Di mana pun begitulah, kita akan sokong dan bersama-sama bersatu," katanya dalam ucapan pada Majlis Pengumuman Calon GRS-BN di sini pada Rabu.
Kerusi Beluran disandang oleh Menteri Pertanian Indusrti dan Makanan, Datuk Seri Ronald Kaindee.
Sementara itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru penyokong kedua-dua gabungan itu supaya bersatu hati bagi menyokong calon-calon gabungan tersebut pada PRU15.
Ketua Menteri Sabah itu menambah, kesatuan antara GRS-BN penting untuk memastikan suara sabah kuat dan didengari di peringkat nasional.
Melalui kesatuan tersebut, ujar Hajiji hak dan kepentingan negeri Sabah dapat diperjuangkan.
"Dalam pilihan raya ini kita mesti bersatu hati. Saya minta semua penyokong GRS, di mana saja berada sokong calon-calon diletakkan oleh BN, dan begitu lah sebaliknya.
"Kerana bagi saya, ini amat penting. Tujuan kita pada hari ini adalah untuk bersama mengikat janji dan berjuang untuk pastikan kemenangang cemerlang GRS-BN," katanya.
Dalam pengumuman tersebut, beberapa penyandang digugurkan dan tidak mempertahankan kerusi yang disandang mereka.
Ia termasuk Datuk Seri Azizah Mohd Dun (GRS-Bersatu); Datuk Yamani Hafez Musa; dan Datuk Abdul Rahim Bakri.
GRS mengandungi Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Pastikan kemenangan GRS dan BN - Hajiji
#Calon PRU15 #BN Sabah #Bung Moktar Radin #PRU15