PRU15: GRS belum muktamadkan calon - Hajiji

Mirlen Axtius
Oktober 13, 2022 00:00 MYT
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memuktamadkan calon yang akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memuktamadkan calon yang akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, Hajiji berkata, mesyuarat itu hanya membincang dan menekankan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Ketua Menteri Sabah itu berkata, mesyuarat itu juga mengaktifkan jentera parti GRS kerjasama dengan BN.
"Calon belum lagi... nanti saya akan umumkan. Tunggu sahaja.
"Kita hanya bincang mengenai persiapan pilihan raya. Parlimen sudah dibubar jadi kita mesti bersedia untuk menghadapi PRU15 termasuk mengaktifkan jentera GRS dan bekerjasama dengan BN," katanya kepada pemberita.
Hadir sama pada mesyuarat itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Presiden STAR Datuk Seri Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden USNO Datuk Seri Pandikar Amin Mulia, serta beberapa Ahli Majlis Tertinggi dalam GRS.
GRS merangkumi komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Kerjasama BN dan GRS dijangka mengukuhkan lagi dua gabungan berkenaan dalam berhadapan parti pembangkang, Warisan yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Pakatan Harapan (PH) Sabah.
#Gabungan Rakyat Sabah #Calon GRS #PRU15 #Hajiji Noor
;