PRU15: GRS akan sokong calon BN di Sabah - Zahid Hamidi

Astro Awani
Oktober 4, 2022 19:21 MYT
Menurutnya, persetujuan itu dicapai selepas pertemuan dan perbincangan antara kepimpinan GRS dan beliau baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi memaklumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyokong setiap calon yang bakal dikemukakan BN di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, persetujuan itu dicapai selepas pertemuan dan perbincangan antara kepimpinan GRS dan beliau baru-baru ini.
"Saya ingin memaklumkan di Sabah, saya telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan GRS dan mereka telah memberikan perakuan bahawa gabungan itu akan menyokong semua calon BN.
"Kami amat menghargainya... semoga perkara ini dapat direalisasikan dalam makna sebenar apabila tiba masanya (PRU15)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.
Turut hadir pada pertemuan khas itu ialah ketua-ketua bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pemohonan tujuh parti untuk menyertai BN sama ada sebagai parti teras atau Friends of BN dibawa ke perhatian mesyuarat Dewan Tertinggi BN./
"Kami yakin dengan empat parti teras, lapan parti gabungan atau Friends of BN dan tujuh lagi parti yang mahu menyertai BN," katanya.
#Calon BN #Politik Sabah #GRS #Zahid Hamidi
;