PRU15: GPS yakin takluk semula kerusi pembangkang - Abdul Karim

Fadilah Sulaiman
Julai 4, 2022 15:27 MYT
Abdul Karim secara peribadi optimis GPS mampu merampas kerusi yang dikuasai pembangkang sebelum ini antaranya Selangau, Puncak Borneo dan Lubok Antu. - Astro AWANI
KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyasarkan sekurang-kurangnya 28 kerusi parlimen akan dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Katanya, momentum kemenangan GPS pada Pilihan Raya Negeri ke-12 lalu memberi keyakinan untuk gabungan itu merampas semula kerusi terutama di kawasan bumiputera termasuk kerusi Selangau, Lubok Antu dan Puncak Borneo.
“Ada beberapa kerusi yang kita rasa dapat ditawan semula, salah satunya ialah Selangau. YB Baru Bian boleh bertanding di mana-mana dia mahu, kita nak lihat sama ada dia dapat menang kerusi parlimen atau tidak.
“Selain itu secara peribadi saya melihat Puncak Borneo dan Lubok Antu juga kita boleh menang. Saya akan rasa sangat kecewa kalau kita hilang kerusi di kawasan majoritinya bumiputera,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian semasa sidang media D’Drift 2022 Dayak Daily dekat sini pada Isnin.
Bagaimanapun, beliau berharap GPS akan menang di semua 31 kerusi yang ditandingi sekali gus membawa suara yang lebih lantang di dewan rakyat khususnya dalam mendapatkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Secara peribadi saya rasa GPS akan membuahkan hasil yang lebih baik PRU akan datang. Dan saya berharap rakyat Sarawak akan meneruskan sokongan dari PRN lalu untuk PRU akan datang kerana kita perlu dilihat bersatu.
“Sarawak hanya mempunyai 31 kerusi daripada 222 kerusi parlimen Malaysia. Kita tidak boleh pecahkan 31 kerusi itu kerana ia jumlah yang sangat penting dalam usaha advokasi mendapatkan semula hak negeri dan kita perlu dilihat bersatu.
“Saya harap ianya dapat ditonjolkan dalam PRU akan datang,” katanya lagi.
Untuk rekod, GPS kini mewakili 19 kerusi dalam dewan rakyat selepas PRU14 pada tahun 2018 yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) yang mana merupakan prestasi paling teruk sejak sekian lama.
#PRU15 #Perjanjian Malaysia 1963 #Gabungan Parti Sarawak GPS #Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB
;