PRU15: GPS yakin 'sapu bersih' kesemua 31 kerusi parlimen Sarawak
Nuzuluddin Abdul Razak
April 24, 2022 14:53 MYT
April 24, 2022 14:53 MYT
SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata parti yang mengemudi kerajaan negeri itu tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan pilihan raya malah telah lama memasang strategi secara senyap.
“Kita memang sudah bersedia, kalau kita mahu bertanding berlari, mestilah kita melaksanakan latihan, dalam hal ini kita belum tahu bila tarikh PRU-15 tetapi satu perkara yang penting adalah GPS sentiasa bersedia.
“Kita melakukan persediaan secara diam-diam, tak perlu digembar-gemburkan, biarlah hasil kerja yang dilaksanan kerjaan negeri ini dapat dilihat oleh rakyat, kalau sudah tiba masanya saya akan umumkan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan ke-5 Badan Induk Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Ahad.
Menjawab soal calon untuk PRS dalam PRU-15 yang akan datang, Abang Jo tidak akan sesekali campur tangan dalam setiap keputusan yang dibuat oleh parti komponen GPS.
“Saya serahkan kepada PRS siapakah yang mereka akan calonkan untuk bertanding dalam PRU yang akan dayang, seperti juga PBB, kalau ada yang sudah tiba masanya diganti, maka akan ada tanda-tanda untuk mereka (parti) mencari wakil yang lain,” katanya.
Terdahulu semasa berucap, Abang Jo menegaskan pendirian GPS untuk memenangi kesemua kerusi parlimen dalam PRU-15 yang akan datang termasuk semua keenam-enam kerusi yang akan dipertandingkan PRS iaitu kerusi Parlimen Lubuk Antu, Selangau, Julau, Sri Aman, Ulu Rajang, dan Kanowit.
PRU-14 pada tahun 2018 menyaksikan Barisan Nasional (BN) ketika itu memenangi 19 kerusi daripada 31 kawasan parlimen daripada lebih 1.4 juta pemilih berdaftar yang mengambil bahagian.
#Gabungan Parti Sarawak GPS
#Pilihan Raya Umum ke-15 PRU15
#Tan Sri Abang Johari Tun Openg
#Parti Rakyat Sarawak PRS