PRU15: Gerik perlu fasiliti ibu bersalin segera - Asyraf Wajdi
Bernama
November 9, 2022 06:30 MYT
November 9, 2022 06:30 MYT
GERIK: Kemudahan fasiliti ibu bersalin antara tumpuan utama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang perlu dilaksanakan apabila dipilih menjadi wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata sebelum ini tiada kemudahan untuk ibu-ibu bersalin terutama di Pengkalan Hulu sehingga mereka terpaksa ke Hospital Baling, sekali gus bayi didaftarkan di Kedah dan bukannya di Perak.
"Adalah menjadi satu keperluan diwujudkan fasiliti ibu bersalin agar memudahkan segala proses. Ada juga yang mengadu terpaksa bersalin dalam kereta kerana fasiliti yang tidak mencukupi. Jadi kita tidak mahu ia berulang lagi," kata Ketua Pemuda Umno itu dalam satu temu bual bersama Bernama baru-baru ini.
Selain itu, turut dibangkitkan adalah kemudahan jalan raya Gerik-Jeli termasuk jalan kampung yang perlu ditambah baik memandangkan kawasan itu mempunyai kawasan hutan semulajadi Royal Belum yang boleh dikomersialkan sebagai tarikan eko-pelancongan.
"Bayangkan usianya lebih tua daripada hutan Amazon. Justeru hutan simpan ini seharusnya lebih dikomersialkan kerana terdapat flora dan fauna yang mungkin tiada di hutan simpan yang lain.
"Di Hutan Royal Belum ini juga terdapat kawasan air panas yang boleh dijadikan tarikan untuk ekopelancongan. Hutan yang usianya agak tua ini perlu menjadi tarikan di mata pelancong dan apabila pelancong ramai datang, ekonomi Gerik akan semakin maju dan baik," katanya.
Asyraf berkata antara rancangan lain yang perlu dilaksanakan adalah mewujudkan hub pendidikan membabitkan kampus satelit yang menawarkan kursus jangka pendek dan jangka panjang untuk program sijil dan diploma, yang pastinya akan memberi manfaat kepada anak muda di sini.
Asyraf menghadapi tentangan dari calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Fathul Uzir Ayob dan Ahmad Tarmizi Mohd Jam dari Pakatan Harapan (PH-DAP) dalam merebut kerusi Parlimen Gerik
-- BERNAMA