PRU15: Faktor calon jadi pertimbangan kritikal kali ini - Merdeka Center

Israr Khalid
November 1, 2022 07:33 MYT
Bukan lagi bendera, tetapi siapa calon, menjadi pertimbangan pengundi yang lebih muda. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bukan parti, tetapi calon yang menjadi faktor yang menjadi pertimbangan utama pengundi khususnya pengundi muda untuk memilih perwakilan mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Menurut Pengurus Penyelidik Kanan Merdeka Center, Tan Seng Keat, pengundi lebih cenderung melihat profil dan prestasi calon yang dipertandingkan untuk menyelesaikan isu semasa yang dihadapi.
Ketika kecenderungan itu dilihat pada golongan muda, pengundi senior masih menunjukkan kesetiaan kepada parti.
“Generasi berumur 60 tahun ke atas banyak tengok parti, mengikut perjuangannya seperti kaum, agama, ekonomi dan sebagainya.
“Tapi semakin muda pengundi, mereka melihat isu lain, isu-isu semasa dan juga idea-idea yang dibawa oleh pemimpin.
“Banyak pengundi akan tengok siapa calon. Adakah calon ‘parachute’ atau dia memang orang tempatan, memang disukai, atau dia memang sudah lama berkhidmat di kawasan tertentu sebelum dia dipilih oleh partinya sebagai calon,” katanya dalam program diskusi Malaysia Memilih pada Selasa
Katanya, oleh kerana PRU kali ini tidak ada isu besar seperti 1MDB dan GST yang hangat dalam PRU yang lepas, isu calon mana yang mampu berkhidmat dengan cemerlang untuk membawa rakyat keluar dari himpitan cabaran ekonomi menjadi pemberat yang kritikal.
Selain peribadi, jantina, profesion dan prestasi semasa, maklum Seng Keat, soal kemampuan kewangan calon juga tetap memainkan peranan besar untuk memikat hati pengundi khususnya di luar bandar.
#Malaysia Memilih #PRU15 #Merdeka Center #Calon PRU15
;