PRU15: Fadillah akan menang kata Abang Jo

Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 16, 2022 11:20 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) menyampaikan ucapan Amanat pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di MITEC Kuala Lumpur. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg masih menaruh harapan tinggi kepada penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Di awal ucapannya semasa Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2022 di Kuala Lumpur, Abang Jo berkata Fadillah akan menang kalau dicalonkan semula di kerusi berkenaan.
“InsyaAllah, Fadillah akan menang kalau dicalonkan,” katanya.
Ia sekaligus memberikan bayangan berkemungkinan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu akan mempertahankan semula kerusi tradisi PBB tersebut.
Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah menasihatkan rakyat khasnya golongan belia untuk tidak melupakan asal usul mereka sebagai anak Sarawak dengan menunaikan kewajipan pada negeri tersebut.
“Jangan sesekali lupa usul asal kita, dari mana kita bermula, tunaikan kewajipan pada Negeri Sarawak tercinta sekiranya ada ruang dan peluang.
“Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan sanggup berbuat demikian, hanya orang Sarawak yang akan benar-benar membela nasib orang Sarawak,” katanya semasa memberikan ucapan alu-aluan selaku Menteri Bertanggungjawab LBAS 2022.
Pada PRU14, Fadillah daripada Barisan Nasional ketika itu menang dengan mendapat 28,306 undian ketika menentang Nor Irwan Ahmat Nor daripada Parti Keadilan Rakyat yang bertanding di atas tiket Pakatan Harapan dengan majoriti undi sebanyak 15,017.
Kemenangan itu juga berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Petra Jaya di bawah kepimpinan anak kelahiran Sibu itu selama empat penggal berturut-turut sejak tahun 2004.
#kerusi Parlimen Petra Jaya #Fadillah Yusof #Abang Johari Tun Openg #Malaysia Memilih
;