PRU15: Ewon Benedict mahu bekerjasama dengan Darell bangunkan Penampang

Abdul Hafiz Mustadi
November 19, 2022 01:26 MYT
Naib Presiden UPKO itu berkata, mandat yang diberikan pengundi Penampang itu merupakan suatu amanah besar dan akan digalas sebaik mungkin.
PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan yang menang di Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedict berharap dapat bekerjasama dengan bekas Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking dalam membangunkan Penampang.
Naib Presiden UPKO itu berkata, mandat yang diberikan pengundi Penampang itu merupakan suatu amanah besar dan akan digalas sebaik mungkin.
"Saya juga mengatakan kepada beliau (Darell) adalah masih ADUN Moyog dan saya berharap dapat bersama-sama untuk membina Penampang ini seperti mana yang dikehendaki oleh rakyat Penampang.
"Sudah semestinya saya mengambil mandat yang diberikan ini sebagai satu amanah besar daripada rakyat Penampang, dan saya harus bekerja keras untuk menunaikan apa yang dikehendaki oleh rakyat penampang," kata Ewon ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Undi di Penampang pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ewon turut berkata, perkara pertama yang akan dilakukan beliau selepas ini ialah bertemu dengan rakyat Penampang bagi memahami keperluan dan aspirasi sebenar mereka sebelum merancang gerak kerja pembangunan di kawasan tersebut bagi lima tahun ke depan.
"Bertemu dengan rakyat, saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut isu-isu yang mereka hadapi. Saya ingin tahu lebih mendalam aspirasi mereka," katanya.
Ewon menewaskan Darell dengan memperolehi undi sebanyak 29,066 dengan kelebihan majoriti sebanyak 14,410 undi.
Manakala, Darrel memperolehi sebanyak 14,656 undi.
Turut tewas dalam persaingan merebut kerusi Parlimen Penampang pada PRU15, Kenny Chua Teck Ho daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6,719 undi, dan Richard Jimmy (Bebas) 289 undi.
#Ewon Benedict #Politik Sabah #PRU15 #Malaysia Memilih
;