PRU15: Ewon Benedick bertembung Darell Leiking di Penampang
Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 23, 2022 17:20 MYT
Oktober 23, 2022 17:20 MYT
KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud akur dengan keputusan pimpinan tertinggi parti yang ingin menempatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick di Parlimen Penampang.
Pengerusi Tetap UPKO Kota Belud, Johnny Gilong berkata, parti itu di peringkat bahagian meletakkan harapan agar keputusan yang dibuat membuahkan kemenangan kepada UPKO, selain menyeru penduduk Penampang memberi sokongan kepada ADUN Kadamaian itu di parlimen terbabit.
“Kami mahu Ewon bukan hanya memimpin Kadamaian, kami mahu beliau juga akan memimpin Sabah dan Malaysia melalui Penampang.
"Kami berharap penduduk Penampang akan memberi sokongan kepada Ewon agar beliau dapat membuktikan perkhidmatan dan kepimpinannya kepada daerah tersebut selepas menang pilihan raya,” Johnny berkata.
Ewon sebelum ini mengesahkan akan bertanding di Parlimen Penampang mewakili Pakatan Harapan (PH) atas dasar justifikasi kekuatan dan sejarah UPKO yang ditubuhkan oleh Tan Sri Bernard Dompok di daerah tersebut.
Keputusan yang dibuat PH dan UPKO sekali gus akan menyaksikan pertembungan di antara Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan Ewon selaku bakal Presiden UPKO pada PRU-15.
Darell pada PRU14 memperolehi 32,470 undi, sekali gus berjaya menewaskan Ceaser Mandela Malakun daripada Barisan Nasional dengan kelebihan majoriti sebanyak 23,473 undi dalam persaingan empat penjuru membabitkan Warisan, BN, Star, dan Parti Kerjasama Anak Negeri.
Persaingan kali ini dijangka sengit dengan penyertaan Ewon mewakili UPKO berdasarkan persepsi awam terhadap parti itu yang dilahirkan di Penampang selain pernah dikemudi oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Bernard Dompok sebelum ini.