PRU15: Empat tawaran PH bantu wanita terlibat pasaran kerja - Young Syefura
Fareez Azman
November 14, 2022 17:54 MYT
November 14, 2022 17:54 MYT
BENTONG: Pakatan Harapan (PH) berazam meningkatkan penglibatan wanita dalam pasaran kerja Malaysia termasuk di Bentong.
Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PH Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai kadar penyertaan tenaga buruh wanita adalah pada tahap 55.8 peratus, jauh ketinggalan berbanding lelaki (82.7 peratus).
Justeru ujarnya, empat tawaran diberikan kepada kaum wanita di Parlimen Bentong dan seluruh negara bagi memenuhi potensi kaum itu tanpa perlu memilih antara keluarga atau kerjaya.
Katanya, beliau akan membawa semua tawaran berkenaan ke Dewan Rakyat sekiranya diberi mandat pada PRU ini.
“Memberikan subsidi penjagaan kanak-kanak kepada wanita bekerja dari golongan B40 dan M40. Memperuntukkan elaun khas bagi penjaga golongan warga emas dan OKU.
“Manfaat kanak-kanak sejagat, wang tunai kepada setiap kanak-kanak dari lahir hingga mereka berumur enam tahun bagi memastikan mereka menerima nutrisi secukupnya semasa membesar.
“(Saya mahu) manfaat (itu) deposit terus ke dalam akaun penjaga,” jelasnya dalam satu sidang media di Bentong pada Isnin.
Selain itu tambah Young Syefura, diskriminasi tempat kerja juga diberi perhatian membabitkan kaum wanita.
Malah sebagai calon wanita ujarnya, menjadi keutamaannya mewakili suara wanita di Parlimen.
“Sebagai salah satu individu yang bakal mewakili suara wanita di Parlimen, isu ini dekat di hati saya dan ia menjadi salah satu keutamaan saya di Bentong yang telah disampaikan kepada pengundi merangkumi agenda ketahanan bencana, pembangunan keluarga dan masyarakat, pertanian moden, pembangunan bandar, dan perkembangan sukan,” katanya lagi.
Pada PRU kali ini, Young Syefura berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Bentong.
Antara pesaingnya bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Khalil Abdul Hamid (Bebas), Datuk Roslan Hassan (PN) dan Wong Tack yang juga penyandang kerusi Parlimen itu sebagai calon Bebas.
Pada PRU14 lalu, Tack daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 2,032 undi menewaskan calon BN, Tiow Lai dan Pas, N Balasubramaniam.