PRU15: Empat calon bersaing untuk kerusi Bagan Datuk
Ridauddin Daud
November 5, 2022 12:08 MYT
November 5, 2022 12:08 MYT
BAGAN DATUK: Perebutan kerusi Parlimen Bagan Datuk menyaksikan saingan empat penjuru dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari Barisan Nasional (BN) akan mempertahan kerusi tersebut.
Pakatan Harapan (PH) pula mempertaruhkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, yang pernah digelar sebagai 'giant killer' dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sebagai calon di kawasan tersebut.
Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan calon muda dan baharu, Dr Muhammad Faiz Na'aman, manakala calon Bebas, bekas Ahli Parlimen Benut, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail melengkapkan senarai persaingan untuk kerusi Parlimen Bagan Datuk.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya P075 Bagan Datuk, Mohamad Ghopran Yeop Hamzah berkata, beliau berpuas hati dengan semua borang pencalonan dan tiada calon ditolak permohonannya.
Dalam PRU14, Ahmad Zahid menang dengan majoriti 5,073 undi selepas mendapat 18,909 undi, menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PH) yang memperoleh 13,836 undi.
Sementara itu, perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup dan Hutan Melintang pula menyaksikan saingan tiga penjuru dengan kedua-dua penyandang dari BN akan mempertahankan kerusi tersebut.
Penyandang DUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-UMNO) akan berdepan saingan daripada Ahmad Munzirie Ahmad Kabir (PH-Amanah) dan Mohd Mokheri Jalil (PN-Pas).
Manakala penyandang DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi (BN-UMNO) akan berentap dengan S Wasanthee (PH-PKR) dan Khairun Nizam Marsom (PN-Bersatu).
Sesi pengumuman calon kerusi Parlimen dan DUN itu selesai kira-kira jam 11.30 pagi tadi.