PRU15: Eizlan Yusof bergegas ke pusat penamaan calon sebaik habis 'shooting'
Gempak
November 5, 2022 16:33 MYT
November 5, 2022 16:33 MYT
PELAKON Datuk Seri Eizlan Yusof terus bergegas ke Sabak Bernam sempena hari penamaan calon yang berlangsung di Dewan Tun Razak walaupun baru saja habis penggambaran filem terbaharu kira-kira jam 6 pagi.
Eizlan yang juga Calon Parlimen Sabak Bernam mewakili GTA Parti Pejuang, akui walaupun perlu melunaskan tanggung jawab sebagai pelakon, peristiwa hari ini (Penamaan Calon) tidak boleh dianggap ringan.
“Kebetulan babak semalam adalah terakhir, jadi bolehlah saya fokus pada peristiwa hari ini yang juga penting kerana membabitkan amanah rakyat demi bangsa dan negara.
“Perasaan saya hari ini bercampur baur, ada rasa berdebar namun masa sama teruja.
“Tetapi saya tidak mahulah terlalu teruja. Saya melihat langkah pertama ini (penamaan calon) satu tanggungjawab buat saya untuk membawa amanah rakyat ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Eizlan juga berharap masyarakat di Parlimen Sabak Bernam dapat memberi peluang untuk beliau menjalankan tugas.
Eizlan tiba ke Pusat Penamaan Calon Sabak Bernam tepat jam 8.30 pagi, dilihat ceria diiringi isteri, Datin Seri Natasha Rosa Boudville, rakan-rakan dan penyokong.
Kertas pencalonan penamaan calon bagi Pejuang di bawah Eizlan diterima pada jam 9.05 pagi.
Eizlan bakal merebut kerusi P.092 yang turut ditandingi calon dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan.