PRU15: Edwin Banta tidak gentar rampas kerusi Selangau, realisasi Misi 31 GPS
Azizah Alwi
November 3, 2022 20:40 MYT
November 3, 2022 20:40 MYT
KUCHING: Status sebagai calon baharu, tidak menggentarkan Edwin Banta untuk merampas kerusi Parlimen Selangau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Edwin,57, berkata pengalaman ketika di lapangan bersama akar umbi akan digunakan sebagai senjatanya untuk bertanding di kerusi panas itu.
“Saya sudah begitu arif berkenaan dengan pekan Selangau dan saya rasa itu tidak menjadi masalah kerana saya sudah menjalinkan hubungan kerjasama yang cukup baik dengan kedua-dua ADUN N59 Tamin dan N60 Kakus iaitu Datuk John Sikie dan Christopher Gira.
“Mereka banyak membantu saya semasa di lapangan dan ahli-ahli parti dari komponen lain juga turut memberi sokongan yang cukup padu terutamanya PBB PDP DAN SUPP,” ujarnya.
Tambah Edwin, Selangau memerlukan pembangunan pesat yang memanfaatkan penduduk di sekitarnya.
Dengan itu, katanya sosioekonomi rakyat akan dapat ditingkatkan sekaligus mencapai keperluan industri dan budaya.
“Apa yang saya mahukan adalah penduduk pekan Selangau menikmati kemudahan asas.
“Saya juga mahukan menara telekomunikasi dibangunkan di situ secepat mungkin dan sudah semestinya saya mahu meningkat sosioekonomi penduduk setempat berkemungkinan melalui budaya dan industri termasuk kelapa sawit,” katanya.
Edwin dilantik Setiausaha Politik Premier sejak 2016 selain memegang jawatan Timbalan Bendahari Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS)
Pada PRU14, kerusi Parlimen Selangau dimenangi oleh Baru Bian yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 486 undi selepas menewaskan Rita Insol dari Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu tidak mempertahankan kerusi tersebut sebaliknya bertanding di kerusi Lawas pada PRU15.