PRU15: Dua Setiausaha Agung bakal bertembung sekali lagi di Lumut?

Ridauddin Daud
Oktober 31, 2022 04:40 MYT
Empat tahun berlalu, Mohd Hatta disahkan akan mempertahankan kerusi tersebut dan khabar angin kini bertiup kencang mengatakan Zambry juga akan bertanding di sana.
LUMUT: Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Lumut merekodkan hanya 400 majoriti, antara yang terendah dalam 222 kerusi dipertandingkan di seluruh negara.
Pertembungan pada 2018 itu menyaksikan calon Pakatan Harapan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli ditabalkan sebagai pemenang selepas mendapat 21,955 undi.
Beliau menewaskan salah satu nama besar di Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam saingan tiga penjuru.
Zambry yang merupakan Menteri Besar pada waktu itu memperoleh 21,555 undi, menyaksikan cubaannya bertanding kali pertama di kerusi Parlimen tidak membawa hasil diharapkan, tewas tipis kepada lawannya.
Empat tahun berlalu, Mohd Hatta disahkan akan mempertahankan kerusi tersebut dan khabar angin kini bertiup kencang mengatakan Zambry juga akan bertanding di sana.
Situasi itu sekali gus menyaksikan pertembungan kali kedua buat kedua-dua figura itu.
Bahkan, ia juga merupakan pertembungan dua Setiausaha Agung parti, Mohd Hatta dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Zambry bersama Barisan Nasional (BN).
Setakat ini, calon daripada Perikatan Nasional (PN) masih samar-samar namun berdasarkan rekod pada PRU14, kemungkinan ia akan diisi calon daripada Pas.
Begitupun, semuanya masih khabar angin (kecuali Mohd Hatta) dan akan disahihkan selepas pengumuman calon dibuat parti-parti berkenaan.
Seramai 67,157 pemilih menunaikan tanggungjawab mereka di kawasan itu pada 2018 dengan jumlahnya dijangka bertambah pada PRU15 susulan peningkatan pengundi muda yang berdaftar secara automatik.
#Zambry Abd Kadir #Dr Mohd Hatta Ramli #PRU15 #majoriti tipis
;