PRU15: Dua penyandang, seorang muka baharu jadi calon DAP di wilayah tengah Sarawak
Missel Ernie Bick
Oktober 22, 2022 05:30 MYT
Oktober 22, 2022 05:30 MYT
SIBU: Sarawak mengumumkan Oscar Ling Chai Yew, Alice Lau Kiong Yieng dan Tony Chiew Chan Yew sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Sibu, Lanang dan Bintulu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Pengerusinya, Chong Chieng Jen dalam satu majlis makan malam DAP Sibu di sini pada Sabtu.
Ia sekali gus menjawab persoalan mengenai status dua penyandang kerusi Sibu dan Lanang sama ada akan mempertahankan kubu lamanya atau tidak.
Manakala untuk Parlimen Bintulu, DAP mempertaruhkan Setiausaha Publisiti DAP negeri, Tony Chiew dengan misi merampas kerusi yang kini disandang Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.
Pada PRU14, Tony Chiew kalah kepada King Sing dengan majoriti 27,076 yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
Untuk rekod, Oscar Ling ialah penyandang kerusi Parlimen Sibu selama dua penggal dan pada PRU14 lepas, beliau menang dengan majoriti 33, 811 undi menewaskan calon BN, Wong Kee Yew, Tiew Yen Houng (PEACE), dan calon STAR, Tiong Ing Tung.
Alice Lau pula menang dengan majoriti 29,905 undi mengalahkan calon BN Kong Sien Chiu dan calon parti PEACE, Priscilla Lau pada PRU14.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.