PRU15: Dr Mahathir calon tertua, hadapi saingan lima penjuru di Langkawi

Bernama
November 5, 2022 22:44 MYT
Pada PRU-14 lalu, bekas perdana menteri itu, memperoleh 18,954 undi menewaskan Datuk Nawawi Ahmad (BN, 10,061 undi) dan Zubir Ahmad (Pas, 5,512 undi).
ALOR SETAR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kedah menyaksikan penyertaan negarawan berusia 97 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi, yang menjadikan bekas perdana menteri itu sebagai calon tertua pada pilihan raya kali ini.
Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu yang bertanding sebagai calon Pejuang di mana beliau juga adalah pengerusinya, akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Armishah Siraj, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Perikatan Nasional-PN), Zabidi Yahya (Pakatan Harapan-PH) dan calon Bebas, Datuk Abd Kadir Sainudin.
"Apa yang saya lihat saya ada peluang untuk menang," katanya ketika ditemui media pada hari penamaan calon PRU15 di Langkawi hari ini.
Pada PRU-14 lalu, bekas perdana menteri itu, memperoleh 18,954 undi menewaskan Datuk Nawawi Ahmad (BN, 10,061 undi) dan Zubir Ahmad (Pas, 5,512 undi).
Anaknya, yang merupakan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz, pula berhadapan dengan saingan empat penjuru bagi mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun apabila ditentang calon BN yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz, calon PN, Dr Abd Ghani Ahmad dan calon PH, Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali.
Kerusi Parlimen Sungai Petani pula, Mohammed Taufiq Johari,26, menjadi taruhan PH untuk mengekalkan kerusi yang sebelum ini disandang bapanya, Datuk Johari Abdul selama tiga penggal dalam saingan lima penjuru.
[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka
SEMAK SEMUA CALON PRU15 DI SINI
Mohammed Taufiq akan ditentang Ketua UMNO Sungai Petani ,Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya, calon PN, Dr Robert Ling Kui Ee dan Tan Chow Kang @ Tann Joon Long dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Kerusi Parlimen Alor Setar mencatat jumlah calon teramai yang bertanding di Kedah melibatkan tujuh calon iaitu Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN), Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat (Pejuang), Datuk Fadzil Hanafi (Warisan), Tan Chee Hiong (BN), Simon Ooi Tze Min (PH) dan dua calon Bebas iaitu Datuk Nordin Yunus dan Sofan Feroza Md Yusup.
Sejumlah 68 calon daripada pelbagai gabungan dan parti politik serta calon Bebas akan bertanding di 15 kerusi Parlimen di Kedah di mana seramai 1,575,805 pengundi yang layak akan menentukan wakil rakyat pilihan mereka pada 19 Nov ini.
-- BERNAMA
#PRU15 #Calon PRU15 #Dr Mahathir #Langkawi
;