PRU15: Dr Adham gugur, BN calonkan Manndzri Nasib di Parlimen Tenggara
Hilmi Malik
November 1, 2022 22:34 MYT
November 1, 2022 22:34 MYT
JOHOR BAHRU: Penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba tidak diumumkan sebagai calon yang bakal bertanding untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan senarai calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa malam, sebaliknya mengumumkan nama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib untuk berentap di kawasan itu.
Pengumuman itu juga menjawab spekulasi berhubung desas desus mengenai Dr Adham yang dikatakan bakal hilang kerusi tersebut.
Terdahulu, BN Bahagian Tenggara telah mengadakan sidang media pada Selasa bagi menuntut pucuk kepimpinan BN untuk mengekalkan Dr Adham untuk mempertahankan kerusi terbabit.
Mereka berpendapat, Dr Adham wajar dicalonkan sekali lagi di kerusi itu dan keputusan untuk tidak meletakkan beliau di Tenggara bakal mengundang 'malapetaka besar'.
Dr Adham yang meyandang kerusi Tenggara selama dua penggal itu menang di kerusi tersebut pada PRU14 yang lalu dengan jumlah majoriti sebanyak 5,993.