PRU15: Dituduh taja kumpulan Kristian dan Yahudi, Anwar Ibrahim tanya "Tak ada modal lain ke"?
Madiha Abdullah
November 18, 2022 08:00 MYT
November 18, 2022 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuduhan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai 'kehilangan modal' apabila mendakwa Pakatan Harapan (PH) menaja kumpulan Yahudi dan Kristian, seperti yang tular di media sosial pada Khamis.
Anwar yang merupakan calon Perdana Menteri PH sekali lagi menegaskan, apa yang diperjuangkan adalah kepentingan semua lapisan rakyat di negara ini.
"Katanya Kristian dan Yahudi sudah menyusup masuk. Tak ada modal lain ke? Komunis, Kristian, Yahudi. Kalau merompak, tak ada masalah.
"Saya nak jawab (tuduhan itu), saya tidak defensive, saya tidak apologetic. Kalau anda nak saya memimpin negara ini, saya akan pertahan orang Melayu dan hak Melayu, saya pertahan orang Cina dan hak Cina, saya pertahankan orang India dan hak India, Sabah dan Sarawak," katanya dalam Ceramah Mega Anwar Ibrahim di Bandar Tun Razak, pada Khamis.
Dalam masa yang sama, Presiden PKR itu juga menyifatkan Muhyiddin sudah hilang kelayakan dalam persaingan sebagai Perdana Menteri kerana rekod kehadiran yang tidak memberangsangkan di Parlimen.
Malah tambah Anwar, keengganan Muhyiddin mengisytiharkan harta juga menjadi salah satu sebab kukuh untuk rakyat tidak memilihnya dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Sabtu ini.
"Bagaimana nak pilih pemimpin, nak tahu dia rasuah atau tidak? Apabila dia tak berani isytihar harta, jangan sokong. Muhyiddin kata dia sudah hantar laporan kewangan Bersatu kepada pendaftar pertubuhan. Apa kena mengena?
"Saya minta dia isytihar harta, tak berani sebab ada harta di sini, ada harta anak, ada harta menantu, ada harta di Australia...Nak jadi pemimpin must come clean, anda tak rompak, anda tak ambil tanah, tak ambil balak, tak ambil kontrak, baru rakyat percaya yang anda boleh memimpin.
"Kemudian guna (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang untuk pertahankan dia. Saya kata, kita nak lantik ketua darjah tetapi pelajarnya jarang datang sekolah.
"Kalau tanya saya, Muhyiddin sudah disqualified kerana dia tak datang sekolah, macam mana nak lantik jadi ketua darjah," ujarnya.