PRU15: 'Dia datang atau tak, saya tetap akan muncul' - Khalid Samad

Faida Rahim
November 12, 2022 17:01 MYT
Jelas Khalid, debat terbuka adalah platform terbaik untuk melihat siapa berkata benar dan siapa yang sedang berbohong. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Susulan jemputan 'Debat Wilayah' antara calon Parlimen Titiwangsa Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad dan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang akan diadakan esok, Khalid memaklumkan sudah siap sedia dan tetap akan muncul di lokasi seperti dijanjikan.
Pentas debat anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Rakan Siswa, Arus Anak Muda dan disokong oleh Undi18 dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam esok di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu.
“Dia datang atau tak, saya tetap akan muncul di sana esok,” katanya ketika ditemui di sesi jelajah bertemu penduduk di Desa Pandan, di sini, malam tadi.
Pertembungan antara Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, dijangka menjadi tumpuan utama di Titiwangsa sepanjang PRU15 dan isu pembangunan Kampung Bharu mungkin menjadi isu yang akan disentuh kedua-dua calon.
Jelas Khalid, sudah tiba masanya untuk pengundi di Titiwangsa melihat dan mendengar isu berbangkit di kawasan 'panas' itu terutama mengenai kelangsungan hidup anak muda.
INI KEPUTUSAN PARLIMEN TITIWANGSA PADA PRU14
LIHAT CALON-CALON PRU15 DAN KEPUTUSAN PRU14 DI SINI
“Saya dah setuju untuk hadir dan dia (Johari) belum berikan kesanggupan dan komitmennya untuk datang atau tidak. Walau macam mana pun saya akan muncul kerana saya rasa rakyat berhak untuk mendengar dan memilih untuk antara dua.
“Debat terbuka adalah platform terbaik untuk melihat siapa berkata benar dan siapa yang sedang berbohong,” katanya.
Semalam, Johari mendakwa tawaran harga RM1,000 sekaki persegi untuk membeli tanah Kampung Baru yang disebut Khalid ketika menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan tidak pernah diluluskan Jemaah Menteri.
Memetik laporan FMT, Johari berkata, bahawa jawapan Khalid itu menunjukkan beliau sekadar memberitahu perdana menteri dan Jemaah Menteri tentang tawaran itu.
Dalam pada itu, menerusi Instagram Ashraff Fahmy yang merupakan wakil penganjur Debat Wilayah, Johari dilihat menolak jemputan untuk hadir di sesi debat esok.

Saya telah berjumpa dengan Datuk Seri Johari untuk menyerahkan surat jemputan Debat Wilayah. Ini respon beliau@malaysiakini @MalaysiaGazette @BernamaTV @501Awani @HermyRahim @bharianmy @SinarOnline @Marchfoward @LagaCawan @zack_rockstar @nizambakeri @msianinsight @amerhadiazmi pic.twitter.com/H6wfM4SwS6

— Ashraff Fahmy (@Ashraff_Fahmy) November 11, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Khalid bakal berdepan dengan calon-calon termasuk Johari Ghani (BN), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (PEJUANG) dan Rosni Adam (Perikatan Nasional) dalam PRU15 pada Sabtu.
#Barisan Nasional #Pakatan Harapan #JOHARI ABDUL GHANI #Khalid Samad
;