PRU15: DAP Sarawak tunggu masa sesuai dedah kerjasama blok pembangkang

Shafik Ahmad
Julai 8, 2022 11:43 MYT
Chieng Jen juga tidak memberi sebarang komen ketika diminta mengulas sama ada DAP sudah mempunyai calon untuk bertanding pada PRU15.
KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen enggan mengulas mengenai status rundingan kerjasama antara parti-parti pembangkang di negeri itu termasuk pembahagian kerusi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketika ditanya Chieng Jen hanya mahu membincangkan perkara itu pada masa yang lain.
“Janganlah politik hari ini kita semua gembira bersama di sini kerana murid-murid yang telah mendapati keputusan cemerlang dalam SPM.
“Ini merupakan acara yang baik, kita tidak mahu bercakap tentang politik buat masa sekarang, saya fikir politik di negara ini sangat mengelirukan sekarang,” katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Chieng Jen merujuk kepada perkembangan situasi semasa politik negara atau di peringkat negeri.
Dalam masa sama, beliau juga tidak memberi sebarang komen ketika diminta mengulas sama ada DAP sudah mempunyai calon untuk bertanding pada PRU15.
Terdahulu ini Presiden Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) Datuk Othman Abdillah dalam kenyataanya mengesahkan bertanding di lapan kerusi Parlimen bagi kawasan majoriti Melayu-Melanau.
Keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama blok pembangkang tempatan termasuk Parti Sarawak Bersatu (PSB), Aspirasi, PBDS Baru dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) dalam satu mesyuarat pada 21 Jun lalu.
Namun beliau tidak menyatakan perbincangan itu turut melibatkan kehadiran PH yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.
Sebelum ini Chieng Jen mendedahkan pihaknya bersetuju menubuhkan jawatankuasa rundingan bagi menjalinkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang di Sarawak bagi memberi saingan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRU15.
Timbalan Pengerusi DAP Sarawak Alice Lau pada April lalu mengumumkan beliau bersama-sama Bendahari DAP Sarawak, Chiew Chiu Sing dan Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling dan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh akan memulakan rundingan bagi membentuk kerjasama.
Pada 4 Julai lalu, DAP Sarawak dan PSB mengadakan perbincangan untuk pusingan kedua di Sibu namun belum mencapai kata sepakat.
Untuk rekod Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 pada Disember tahun lalu menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara parti pembangkang Sarawak.
Susulan itu GPS memanfaatkan peluang itu sekali gus merekodkan kemenangan besar dengan 76 kerusi dari 82 kerusi yang dipertandingkan manakala PSB menang empat kerusi dan dua dari DAP.
#Pengerusi DAP Sarawak #Persiapan PRU15 #Chong Chieng Jen #politik sarawak
;