PRU15: DAP bertanding lapan Parlimen, 19 DUN di Perak

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 28, 2022 00:01 MYT
Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada keseluruhan 27 calon itu, lapan orang atau 42 peratus di bawah umur 40 tahun di samping lima calon wanita. - Gambar/ Sinar Harian
IPOH: DAP Perak mengumumkan bakal bertanding lapan kerusi Parlimen dan 19 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jumlah itu menyaksikan masing-masing pertambahan satu kerusi Parlimen dan DUN, berbanding kerusi yang ditandingi pada PRU14.
Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada keseluruhan 27 calon itu, lapan orang atau 42 peratus di bawah umur 40 tahun di samping lima calon wanita.
“Ini adalah satu permulaan ke arah satu barisan pimpinan yang lebih pelbagai yang terdiri daripada pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda serta ramai juga pemimpin wanita,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pengumuman calon DAP bagi Perak di sini, malam ini.
Beliau turut mengumumkan buat pertama kali DAP akan meletakkan calon bertanding di kawasan Melayu iaitu di Parlimen Gerik, dengan menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Penaja DAP Cawangan Parit yang baru ditubuhkan, Ahmad Tarmizi Mohd Jam.
Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Howard Lee Chuan How yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding di Gerik, diumumkan bertanding di Parlimen Ipoh Timor.
Penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Wong berpindah ke Parlimen Taiping manakala penyandang kerusi DUN Keranji, Chong Zhemin bakal bertanding di Parlimen Kampar, menggantikan Thomas Su Keong Siong.
Sementara itu, penyandang lain-lain kerusi Parlimen kekal bertanding termasuk M. Kulasegaran (Ipoh Barat), V. Sivakumar (Batu Gajah), Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) dan Nga Kor Ming ) Teluk Intan.
DAP turut mengumumkan seorang lagi calon Melayu, Badrul Hisham Badarudin bertanding di kerusi baharu yang ditanding di DUN Changkat Jong.
#PRU15 #dap perak #pengumuman calon #tambah kerusi
;