PRU15: DAP bertanding di Pontian - Anthony Loke

Bernama
November 2, 2022 21:02 MYT
Loke berkata, DAP mempertaruhkan 83 calon di 55 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN pada PRU15. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: DAP memperoleh peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Pontian daripada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), selepas perbincangan lanjut antara kedua-dua parti itu Sabtu lepas.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Pontian kini adalah sebahagian daripada 55 kerusi Parlimen yang akan direbut parti itu pada PRU15.
"Kami berlawan untuk beberapa kerusi kawasan Melayu pada pilihan raya ini, kami ada Mersing, Ayer Hitam dan sekarang Pontian adalah kerusi kawasan Melayu terakhir selepas perbincangan.
"Kami sebenarnya minta (kerusi Parlimen) Sembrong, tetapi PKR mahu kekalkan (bertanding) kerusi itu, jadi kami diberi Pontian dan calonnya dari Johor," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan dan penyerahan watikah kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH)-DAP di sini hari ini
Ketika majlis penyerahan watikah itu, Loke turut mengumumkan muka baharu Shazwan Zdainal Abidin sebagai calon PH di Pontian.
KLIK DI SINI UNTUK BACA SEMUA LAPORAN MENGENAI PRU15
Sebelum ini, PKR bercadang untuk menaikkan anggotanya Mohd Sayfaul Arifin Abd Karim sebagai calon Parlimen Pontian.
Terdahulu, Loke dalam ucapannya berkata DAP mempertaruhkan 83 calon di 55 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN pada PRU15.
Katanya daripada 55 calon Parlimen, 14 orang atau kira-kira 25 peratus adalah calon wanita dan kesemua mereka dalam lingkungan umur 45 tahun.
"Malah seramai 21 calon Parlimen kita berumur bawah 40 tahun. Ini bermakna calon-calon yang kita kemukakan pada pilihan raya adalah muda-muda belaka," katanya.
Bagi kerusi DUN pula, Loke berkata satu kerusi DUN ditandingi di Perlis, 19 di Perak dan lapan di Pahang, menjadikan keseluruhan 28 kerusi DUN.
Beliau turut mengumumkan semua penyandang kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Lim Lip Eng bagi Kepong, Hannah Yeoh Tseow Suan (Segambut), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok Suh Sim (Seputeh) dan Tan Kok Wai di Cheras.
Ditanya mengenai janji PH untuk menghapuskan tol Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) jika diberi mandat selepas PRU15, Loke berkata ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan, PH telah berjaya mengurangkan bayaran tol sebanyak 18 peratus.
"Jadi dalam PRU15 ini, manifesto kami terus menjanjikan penstrukturan semula tol.
"Kami harap dapat menghapuskan sepenuhnya tol, bagi meringankan beban rakyat, tetapi ia tidak dapat dilakukan serta-merta namun boleh dibuat secara berperingkat, itu adalah pendekatan realistik yang kami ambil," katanya.
-- BERNAMA
#PRU15 #calon PRU #DAP #Pontian
;