PRU15: DAP beri mandat Anwar jadi PM tanpa syarat

Sinar Harian
November 7, 2022 23:30 MYT
Loke berkata, Anwar mampu menjadi Perdana Menteri yang terbaik kerana beliau merupakan tokoh politik yang berpengalaman. - Gambar fail BERNAMA
TAMPIN: DAP memberi jaminan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semua Ahli Parlimen DAP akan memberi mandat sepenuhnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP juga tidak akan meletakkan apa-apa syarat dan soal rundingan kerusi dalam kabinet hanya akan dibincangkan selepas itu.
"Pada 19 November, apabila kita menang kerusi ke-112, tanpa persoalan, semua Ahli Parlimen DAP akan beri mandat sepenuhnya kepada Anwar untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri.
"Saya sudah menyatakan komitmen kita sebelum Anwar mengangkat sumpah lagi.
"Bagaimana kerajaan dibentuk kita bagi mandat kepada kebijaksanaan beliau untuk mentadbir. Itu komitmen saya sebagai Setiausaha Agung," katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Anwar Ibrahim di Negeri Sembilan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah di sini pada Isnin.
Ujarnya, Anwar mampu menjadi Perdana Menteri yang terbaik kerana beliau merupakan tokoh politik yang berpengalaman. - Sinar Harian
.
#Anthony Loke Siew Fook #Anwar Ibrahim #calon perdana menteri #PRU15