PRU15: DAP, Amanah bertelagah kerusi DUN Changkat Jong?

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 28, 2022 05:27 MYT
Loke berkata, tidak akan berlaku pertembungan kerana pucuk pimpinan Pakatan Harapan telah membuat keputusan menyerahkan kerusi Changkat Jong kepada DAP. - Gambar fail
IPOH: DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dikatakan bertelagah mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong di Teluk Intan apabila kedua-dua parti itu mengumumkan calon masing-masing di kerusi sama untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Terdahulu semalam, Amanah mengumumkan Dr Muhaimin Sulam sebagai calonnya di DUN itu manakala malam tadi, DAP mengumumkan Badrul Hisham Badarudin sebagai calon di kerusi yang sama.
Setiausaha Agong DAP Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun berkata, tidak akan berlaku pertembungan kerana pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah membuat keputusan menyerahkan kerusi itu kepada DAP.
"Tidak ada soal bertembung, itu keputusan yang telahpun dicapai secara konsensus di peringkat kepimpinan tertinggi Majlis Presiden, Top 3.
"Saya bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saudara Mohamad Sabu dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution, kita telah mengadakan meeting Top 3, sebelum Konvensyen di Ipoh pada minggu lepas. Persetujuan telah dicapai pada ketika itu," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pengumuman calon DAP bagi Perak di Ipoh pada Jumaat malam.
Tegasnya, beliau tidak akan mengumumkan sesuatu yang belum ada keputusan.
Sementara itu, Ketua Amanah Kawasan Teluk Intan, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir dalam reaksinya menegaskan penetapan semua kerusi yang ditandingi Amanah adalah seperti yang diumumkan Pengerusi Amanah Perak merangkap Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Datuk Asmuni Awi pada sebelah pagi.
Menurutnya, Amanah Teluk Intan tidak menerima sebarang perubahan melibatkan DUN Changkat Jong daripada Jawatankuasa Amanah negeri mahupun kepimpinan di peringkat nasional.
Katanya, ia berikutan DUN Pasir Bedamar telahpun ditandingi oleh DAP, di samping kerusi Parlimen Teluk Intan.
#PRU15 #dap perak #Amanah Perak #DUN Changkat Jong
;