PRU15: Cita-cita Rani Kulup gempur rasuah
Sinar Harian
November 13, 2022 11:00 MYT
November 13, 2022 11:00 MYT
PORT DICKSON: Menjadi cita-cita calon Bebas Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah untuk menghapuskan gejala rasuah di negara ini yang dilihat semakin bermaharajalela.
Bagaimanapun beliau akui ia agak sukar selagi kerajaan masih dibarisi kepimpinan lama yang terlibat dengan rasuah.
"Kalau kepimpinan yang ada ini pun ada yang ambil rasuah dan beri rasuah, macam mana kita nak banteras rasuah.
"Jadi kita kena tukar pemimpin yang tak jalankan tugas ini. Kadang-kadang maklumat rasuah ini orang dah bagi, tapi tindakan itu tiada, jadi macam mana," katanya.
Beliau berpendapat, tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat dengan rasuah juga perlu diubah kepada lebih tegas termasuk mengenakan hukuman mati.
Ini kerana katanya, hukuman denda dan penjara semata-mata tidak membuatkan pemberi dan penerima rasuah berasa gentar.
"Saya tidak mahu berjanji apa-apa. Tapi seandainya saya dilantik menjadi ahli Parlimen, saya akan habis-habisan menggempur rasuah.
"Kerajaan kita ini asyik-asyik muka lama, cuba bagi orang lain pula. Selagi muka lama jadi pemimpin selagi itulah rasuah ini akan bermaharajalela di negara ini," ujarnya. -Sinar Harian