PRU15: Chin Tong sah ke Iskandar Puteri ganti Kit Siang
Hilmi Malik
Oktober 30, 2022 22:00 MYT
Oktober 30, 2022 22:00 MYT
JOHOR BAHRU: Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sah akan bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook sewaktu Majlis Malam Penghargaan Veteran DAP, Lim Kit Siang serta pengumuman calon DAP Johor menjelang PRU15 di sini, malam ini.
Pengumuman itu sekali gus menjawab teka-teki sebelum ini berhubung desas-desus Chin Tong bakal menggantikan penyandang kerusi berkenaan iaitu Kit Siang pada PRU15.
Pemimpin veteran DAP itu sebelum ini mengumumkan untuk bersara dari dunia politik apabila menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada PRU15.
Selain itu, antara calon lain yang diumumkan adalah Teo Nie Ching mempertahankan kerusi Parlimen Kulai serta Wong Shu Qi yang akan mempertahankan Parlimen Kluang.
Dalam pada itu, Loke turut mengumumkan seorang calon muka baharu Fatin Zulaikha Zaidi, yang akan bertanding di Parlimen Mersing. Fatin Zulaikha adalah calon wanita Melayu yang ketiga mewakili DAP pada PRU kali ini.