PRU15: Calonkan ahli keluarga, 'Kalau dia ada pakej kenapa saya nak nafikan?' - Rasman
Hilmi Malik
November 8, 2022 13:50 MYT
November 8, 2022 13:50 MYT
KOTA TINGGI: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kota Tinggi, Rasman Ithnain berpendapat, tidak timbul sebarang isu dalam kalangan parti meletakkan calon dalam kalangan ahli keluarga.
Jelas Rasman, perkara itu juga dilihat sebagai bukan satu perkara yang asing membabitkan calon yang bertanding dalam pilihan raya kerana perkara itu telah banyak berlaku.
Mengambil contoh parti Bersatu, Rasman menyatakan parti itu sentiasa terbuka mengenai pemilihan calon dan tidak sesekali meminggirkan calon muda untuk bertanding untuk PRU15.
“Saya bersikap terbuka kerana saya bagi peluang untuk ahli-ahli Bersatu dan kita panggil semua ahli untuk duduk bincang mengenai calon.
“Kalau parti lain, hantar nama lain dapat calon lain... malah ada juga yang tak berbincang sebelum kemuka nama calon yang bertanding.
“Kalau macam anak saya, takkanlah pakej semua ada saya pula menidakkan. Bagi saya budaya ini yang tidak kembangkan pemikiran,” katanya ketika sidang media di Pejabat PN Kota Tinggi pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kedudukan anaknya, Mohammad Ridhwan Rasman yang bertanding bagi Parlimen Kota Tinggi mewakili PN.
Tambahnya lagi, wujud juga beberapa parti lain yang mengambil pendekatan sama meletakkan calon dalam kalangan ahli keluarga untuk bertanding.
Sebelum ini, wujud beberapa pertikaian pihak tertentu yang mempersoalkan tindakan parti meletakkan calon ahli keluarga yang dianggap mempunyai kepentingan tertentu.