PRU15: Calon 'underdog' BN Tasek Gelugor yakin pertahankan kerusi tradisi
Bernama
November 17, 2022 15:11 MYT
November 17, 2022 15:11 MYT
TASEK GELUGOR: Walaupun bergelar calon "underdog" dalam saingan enam penjuru di kerusi Parlimen Tasek Gelugor, namun calon Barisan Nasional (BN) Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor yakin dapat mempertahankan kerusi tradisi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov nanti.
Muhamad Yusoff berkata, beliau sedar dikenali sebagai pemimpin kampung dan bukan pilihan (underdog), namun, beliau mempunyai cara tersendiri untuk berkempen bagi menyakini pengundi di Parlimen Tasek Gelugor.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua iaitu dalam Parlimen Tasek Gelugor itu, beliau positif dengan maklum balas yang diterima daripada pengundi dan bersedia untuk membawa suara penduduk kawasan itu ke Parlimen jika dipilih sebagai Ahli Parlimen di situ.
"Selama dua penggal saya sebagai ADUN Sungai Dua, saya telah turun menyantuni serta menyelesaikan masalah bukan sahaja penduduk di sini (Sungai Dua) malah seluruh Tasek Gelugor kerana saya juga Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor.
"Sehingga hari ini, lebih 70 peratus pengundi di Parlimen ini telah saya temui dan santuni, dalam masa tiga hari saya akan terus menyantuni mereka dalam masa sama menyelami masalah penduduk sebelum menyerahkan kepada pengundi untuk menilai dan membuat keputusan, Sabtu ini," katanya.
Pada PRU14, Datuk Shabudin Yahaya daripada BN menewaskan Datuk Marzuki Yahya dari Pakatan Harapan dengan majoriti hanya 81 undi, namun, Shahbudin menyertai Bersatu pada 2020.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berpendapat, beliau boleh menang di situ berdasarkan hasil kajian sikap yang dilaksanakan oleh jentera parti sejak tiga minggu lepas.
"Tetapi setakat ini, saya tidak boleh berkongsi dengan lebih terperinci mengenai peratusan kajian (memihak kepadanya) kerana ia melibatkan strategi parti, namun ini adalah satu perkembangan yang baik dan saya harap ia dapat diterjemahkan oleh undi Sabtu nanti (hari pengundian)," katanya.
Bagi calon Gerakan Tanah Air, Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang), beliau lebih gemar mendekati pengundi bagi mendengar keluhan atau permasalah mereka.
"Saya bukan orang asing di Tasek Gelugor kerana isteri saya orang sini dan sepanjang tempoh berkempen ini, kami turun rumah ke rumah untuk bertemu sendiri pengundi ..Alhamdulillah sambutan diterima juga baik dan peluang untuk saya (menang) ada... kita tunggu Sabtu ini," katanya.
Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Muhammad Yusoff, Wan Saiful, Dr. Abdul Halim, Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH) dan calon Warisan, Mohamad Akmal Azhar.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini (19 Nov) sebagai hari pengundian. - BERNAMA